DEWAN ULAMA’ W.P

Ikon

Cakna ulama’,kebersamaan dalam pelbagai perkara dan amanah diatas tugas para anbiya’,’The boon and bane of Islamic Society’

Jihad Never Sleep Mujahid Never Die

SENGSARA KEM KAMUNTING

By:Dupwp-Rejab 1428H

20061013-blog_item_kamunting.gif

Saari Sungib
abuurwah@gmail.com

Menanti hari-hari mogok lapar, saya membaca kisah perjuangan Ali Shariati. Beliau adalah di antara intelek dan pemikir awal yang menggerakkan reformasi menentang Shah Reza Pahlavi di Iran. Ali Shariati lulus daripada Sorbonne Universty, Perancis pada tahun 1964 dengan ijazah doktor falsafah dalam bidang sosiologi.

Sekembalinya ke Iran beliau telah ditahan atas alasan terlibat aktif dalam kegiatan menentang Shah Iran semasa berada di Perancis. Beliau dibebaskan dari penjara setahun kemudian pada tahun 1965.

Selepas dibebaskan, Dr. Ali Shariati menjadi pensyarah di Universiti Mashhad. Sebagai seorang ahli sosiologi Islam, beliau berusaha menghuraikan masalah masyarakat Iran berpandukan prinsip-prinsip Islam dan mewacanakannya dengan para siswa dan siswi.

Melalui wacana ilmu tersebut populariti Dr. Ali Shariati di kalangan pelajar dan pelbagai kelas masyarakat semakin meningkat. Puluhan ribu pelajar mendaftar untuk menghadiri syarahan-syarahan beliau. Edisi pertama bukunya sahaja telah berjaya diterbitkan sebanyak 60,000 naskah.

Untuk menghapuskan populariti beliau, Shah Iran telah mengarahkan SAVAK dan tentera untuk menggempur universiti di mana beliau memberi syarahan dan menangkap pengikut-pengikutnya. Dr Ali Shariati sendiri disumbat dalam penjara selama lapan belas bulan.

Desakan daripada penyokong-penyokongnya dan tekanan antarabangsa telah memaksa Shah Iran membebaskan Dr Ali Shariati pada 20 Mac 1975. Namun pergerakannya terus dikongkong hebat oleh ejen-ejen SAVAK, polis risik Iran ketika itu.

Akhirnya Dr. Ali Shariati berjaya memboloskan diri untuk berhijrah ke England. Setelah tiga minggu berada di England, pada 19 Jun 1977 Dr Ali Shariati telah didapati mati diracun. Pembunuhan tersebut telah dilakukan oleh ejen-ejen SAVAK yang dikirim oleh Shah Iran.

Ketika peristiwa tersebut berlaku saya baru berada dalam tahun pertama di Southampton Technical College, England.

Seterusnya saya juga membaca sebuah buku tulisan Dr Abdullah Azzam. Abdullah Azzam adalah seorang mujahid Afghan yang berasal dari bumi Palestin. Beliau syahid di Pakistan bersama-sama tiga orang anak lelakinya dalam letupan kenderaan yang mereka naiki bersama.

Saya pernah bertemu dengan Dr Abdullah Azzam dalam satu perkhemahan musim panas pada Ogos 1977 di Carlisle, selatan Scotland. Ketika itu saya baru berusia 19 tahun. Abdullah Azzam memarahi saya yang ketika itu sedang berada di khemah musalla menanti waktu untuk solat. Sambil menunggu iqamah, saya memetik-metik jari-jari saya.

Saya tidak menyedari siapa yang berada di sebelah saya di saff hadapan itu. Melihat saya memetik-metik jari, dengan nada yang marah lelaki gagah di sebelah saya itu terus menegur saya. Saya tidak faham bahasa Arab ketika itu. Apa yang saya tahu adalah saya kena marah!

Selepas solat, lelaki itu terus mara ke hadapan untuk menyampaikan ceramah. Barulah saya tahu rupa-rupanya lelaki tadi adalah Dr. Abdullah Azzam. Selepas itu barulah saya tahu bahawa seperti juga dalam solat, memetik-metik jari sewaktu menunggu solat hukumnya adalah makruh.

Sedarlah saya bagaimana tingginya kesungguhan seorang mujahid mencegah berlakunya perkara yang makruh apatah lagi perkara yang haram!

Sebelum menyertai Ikhwan Muslimin, Dr. Abdullah Azzam adalah seorang anggota PLO. Setelah sekian lama beliau berada dalam kepompong asabiyyah PLO, barulah beliau sedar betapa jauhnya PLO daripada Islam. Beliau berusaha membuat perubahan dari dalam. Namun usaha beliau ditentang hebat oleh pemimpin-pemimpin PLO.

PLO bukan wadah untuk Islam, sebaliknya PLO adalah wadah bagi melanjutkan perjuangan nasionalis puak-puak Palestin sekular. Gagal membuat perubahan dari dalam, Dr. Abdullah Azzam menyertai Ikhwan Muslimin dan menjadi salah seorang putera Ikhwan yang terhandal di Palestin-Jordan dan kemudian Afghanistan-Pakistan.

Daripada buku tulisan Abdullah Azzam itulah buat pertama kalinya saya tahu bahawa Hasan Al-Banna tidak mati kerana ditembak di tepi jalan. Benar, ejen-ejen Raja Farouk memang diutus untuk menembak mursyid pertama Ikhwan Muslimin itu di tepi jalan. Tetapi kecederaan yang dialaminya tidak begitu parah. Hasan Al-Banna sempat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah mendapat rawatan, keadaannya dikatakan stabil dan doktor menyatakan beliau akan kembali bertugas seperti biasa tidak lama lagi.

Menukilnya daripada ahli-ahli keluarga Hasan Al-Banna sendiri, menurut Abdullah Azzam apa yang berlaku kepada Hasan Al-Banna amatlah mengerikan. Pada waktu malam ketika Hasan Al-Banna sedang berada di atas katil hospital, seorang ejen Raja Farouk telah masuk dan menembak beliau hingga mati!

Kedua-dua kisah Dr. Ali Shariati dan Hasan Al-Banna ini sungguh mengesani jiwa saya. Dr. Ali Shariati syahid ketika berusia 44 tahun dan Hasan Al-Banna pula syahid ketika berusia 46 tahun.

Merenung ke dalam diri saya yang ketika itu berusia 44 tahun, tiba-tiba saya fikir jika usia saya ditakdirkan seperti Dr. Ali Shariati, bermakna saya hanya akan hidup beberapa hari lagi. Sebaliknya, jika usia saya ditakdirkan seperti Hasan Al-Banna, maka saya hanya tinggal dua tahun untuk hidup di dunia fana ini.

Tidak tahu kenapa saya berfikir seperti itu. Saya berulang-ulang berfikir seperti itu dan fikiran itu seolah-olah tidak mahu lekang daripada jiwa dan sanubari saya. Selama seminggu saya masih mengenang-ngenang mati syahid tahun itu ataupun dua tahun lagi! Dalam sujud saya pada solat malam saya memohon Allah memberi yang terbaik bagi saya.

Pada hujung minggu lawatan keluarga berjalan seperti biasa. Isteri dan beberapa orang anak saya turut bersama menziarahi saya. Muhallab, anak lelaki saya yang berusia sebelas tahun ketika itu kelihatan sepi dan begitu lain sekali. Beliau tidak mahu bercakap.

Setelah waktu lawatan selesai, saya memeluk dan berjabat tangan dengan isteri dan anak-anak saya. Tiba-tiba anak lelaki saya itu memeluk saya dan menangis sekuat-kuat hatinya. Melihat keadaan itu saya menjadi kehairanan.

Isteri saya memberitahu memang sepanjang minggu itu anak saya itu sentiasa menangis. Menurut isteri saya, Muhallab telah bermimpi bahawa saya mati. Sebaik saja bangun tidur dia masih menyangkakan saya sudah mati. Bila saya tidak muncul-muncul untuk kembali ke pangkuannya kerana terus ditahan di Kem Kamunting, Muhallab yakin mimpinya adalah satu kenyataan.

Saya menenangkan Muhallab. Namun air mata saya turut berlinang. Tidak sangka gelombang fikiran dan doa saya yang dipisahkan sejauh 300km daripada Muhallab rupa-rupanya bertemu dalam mimpi anak saya itu.

Yakinlah saya bahawa karamah, kasyaf, firasat mukmin, ma’unah dan rukyah sodiqah atau mimpi orang-orang yang benar adalah salah satu daripada kurniaan Allah dalam kehidupan mukmin yang istiqamah di atas jalan kebenaran.

Sementara menunggu tarikh mogok lapar dan kelulusan sama ada saya boleh balik untuk menjadi wali menikahkan anak perempuan saya, saya terus membuat persediaan akhir menyunting bahan-bahan ulangkaji ke atas saya oleh Lembaga Penasihat. Kesemuanya tiga jilid itu sudah siap untuk dicetak menjadi buku.

Tidak seperti dua jilid sebelumnya di mana kedua-duanya telah saya bentangkan sendiri di hadapan Lembaga Penasihat, ketiga-tiga jilid tersebut tidak saya kemukakan secara peribadi kepada Lembaga Penasihat.

Apabila bahan-bahan representasi yang telah saya kemukakan kepada Lembaga Penasihat berjaya diterbitkan sebagai buku Suara Dari Kamunting 1 & 2, maka pihak atasan di Bukit Aman dan Putrajaya telah mengenakan tekanan ke atas Komandan Kem Kamunting.

Kesannya, bahan-bahan penulisan saya seterusnya telah disekat dan ditahan. Tiga jilid yang sepatutnya dibentangkan kepada Lembaga Penasihat telah dibekukan oleh Komandan Kem Kamunting dan dihalang daripada sampai ke tangan saya.

Sebagai memprotes tindakan Komandan Kem Kamunting itu, maka saya telah memboikot untuk bertemu Lembaga Penasihat. Saya hanya menulis sepucuk surat untuk dibacakan oleh peguam saya kepada Lembaga Penasihat.

Peguam saya, Saiful Izham Ramli telah membacakan surat tersebut dan menyerahkan kesemua tiga jilid bahan ulangkaji itu kepada Lembaga Penasihat.

Isi kandungan surat saya antara lain:

“Ahli-ahli Lembaga Penasihat yang dirahmati Allah,

Hari ini saya hanya diwakili oleh peguam saya dan tidak hadir sendiri di hadapan Lembaga Penasihat sebagai membantah tindakan Pegawai Yang Menjaga, Tuan Ab. Basir Mohamad yang telah menghalang dan campur tangan dalam persediaan saya untuk bertemu dengan tuan-tuan.

Bahan-bahan representasi dan ulangkaji saya telah disimpan oleh pihak Kem selama lima hari dan hanya diserahkan kepada saya pada petang iaitu kurang dari satu hari sebelum saya menghadiri sesi Ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat.

Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan bahawa tindakan Pegawai Yang Menjaga memegang dan menyimpan bahan-bahan representasi dan ulangkaji saya selama lima hari sehingga menyulitkan persediaan saya untuk berhadapan dengan pihak Lembaga Penasihat adalah secara nyata dan jelas menunjukkan tindakan mengganggu dan campur tangan dalam proses Ulangkaji yang bebas dan adil.

Saya menyeru kepada pihak Lembaga Penasihat untuk memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam segala urusan dan perjalanan representasi dan ulangkaji yang dijalankan di Kem Tahanan Politik Kamunting ini.

Bagi pihak saya, untuk menunjukkan bantahan saya, saya menarik diri dan tidak hadir dalam sesi Ulangkaji pada hari ini”.

Seterusnya saya mengambil peluang secukupnya untuk menegaskan pendirian saya kepada Lembaga Penasihat. Saya menulis:

“Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang dihormati,

Oleh kerana sesi Ulangkaji yang adil adalah meneliti bukan saja kedudukan dan keadaan diri saya, tetapi juga seluruh proses yang menyebabkan saya disumbat di Kem Tahanan Politik ini, di atas sebab itu saya mewakilkan kepada peguam saya untuk menyerahkan segala hujah saya perihal proses soal-siasat yang telah saya lalui selama 54 hari semasa ditahan oleh Bukit Aman.

Hujah-hujah tersebut adalah sambungan daripada dua jilid representasi saya yang lalu dan terdiri daripada Jilid 3, Jilid 4 dan Jilid 5. Saya harap pihak tuan-tuan tidak keberatan untuk mentelaahnya.”

Saya sengaja menulis agar berbunyi gah! Ini kerana tidak ada lagi mana-mana tahanan ISA yang menyediakan bahan-bahan representasi dan ulangkaji sehingga 5 jilid!

Memang saya tahu bahan-bahan tersebut tidak boleh membantu untuk membebaskan saya, tetapi setelah terbit Suara Dari Kamunting 1 & 2, matlamat saya menulis bahan-bahan tersebut menjadi semakin jelas. Kini matlamat sebenar saya adalah untuk menerbitkan bahan-bahan itu sebagai buku-buku Suara Dari Kamunting 3, 4 & 5!

Pengalaman menerbitkan Suara Dari Kamunting 1 & 2 meyakinkan saya bahawa apabila cerita tahanan ISA didedahkan untuk bacaan umum pastinya ia akan memberi tekanan politik kepada kerajaan Umno-BN dan juga Bukit Aman!

Sepanjang saya berada di Kem Kamunting saya berazam untuk terus menyumbang dalam meningkatkan tekanan seperti itu!

Mengambil kesempatan mengemukakan surat kepada Lembaga Penasihat, seterusnya saya membongkarkan manipulasi SB-SB dalam kes penangkapan semula Badrulamin. Saya menulis:

“Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang bijaksana,

Pada 30 Januari 2002, Dr. Badrulamin telah dibawa ke mahkamah kerana pihak polis mengatakan bahawa beliau akan didakwa kerana melanggar syarat.

Apabila tiba di mahkamah, pendaftar mahkamah menyemak fail dan tidak pun mendapati sebarang rekod bahawa Dr. Badrulamin akan didakwa pada tarikh tersebut.

Pendaftar telah menghubungi kedua-dua IPD Gombak dan IPK Shah Alam, nyata tiada sebarang tindakan dari pihak polis untuk mendakwa Dr. Badrulamin di mahkamah.

Akhirnya datang arahan bahawa Dr. Badrulamin akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 Mac 2002. Namun sekitar pukul 4 petang, Dr, Badrulamin dimaklumkan oleh peguamnya bahawa kes tersebut dibuang.

Pada pukul 10 malam, 30 Januari 2002, Dr. Badrulamin telah dihubungi oleh pihak Balai Polis Rawang memberitahu ada panggilan Ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat di Kamunting pada 8 Februari 2002.

Oleh itu, Dr. Badrulamin diminta hadir ke Balai Polis Rawang pada pukul 10 pagi, 31 Januari 2002, untuk menandatangani borang setuju menghadiri sesi Ulangkaji tersebut.

Seperti yang dijadualkan, pada pukul 10 pagi, 31 Januari 2002, Dr. Badrulamin telah hadir ke Balai Polis Rawang dan menandatangani borang salinan (photocopy) sesi Ulangkaji yang bertarikh 8 Februari 2002, iaitu hari ini.

Sebaik sahaja selepas ini, Dr. Badrulamin diberitahu bahawa beliau ditahan semula dan akan dihantar meneruskan tahanannya di Kamunting.

Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang budiman,

Saya menceritakan dengan panjang lebar perihal apa yang telah dilalui oleh Dr. Badrulamin adalah dengan tujuan memberitahu tuan-tuan bagaimana sesi Ulangkaji ini telah dijadikan senda gurau dan permainan pihak-pihak tertentu.

Bagi diri saya sendiri, sesi Ulangkaji tidak ada ertinya apabila Pegawai Yang Menjaga campur tangan dan menganggu persediaan yang bebas dan adil.

Bagi Dr. Badrulamin pula, sesi Ulangkaji dijadikan helah oleh pihak polis untuk ‘memikat’ beliau untuk masuk ke perangkap mereka dan seterusnya ditahan semula ke Kamunting”

Sebagai penegasan bagi menegakkan hak kami, saya menulis:

“Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang budiman,

Saya dan rakan-rakan saya; Mohd Ezam Mohd Nor, Chua Tian Chang, Lokman Noor Adam, Hishamuddin Rais dan Dr. Badrulamin Bahron, sekali lagi menegaskan bahawa penahanan kami di Kamunting adalah penahanan politik.

Penahanan ini adalah tidak sah dan merupakan pencabulan hak asasi manusia dan satu perbuatan zalim.

Seperti apa yang telah saya lakukan bermula 11 September 2001, sebagai menunjukkan bantahan kami, kami memulaukan semua makanan Kem bermula 4 Februari 2002.

Kami juga akan melancarkan mogok lapar! Perkembangan mogok lapar seterusnya akan dimaklumkan oleh rakan-rakan kami dari semasa ke semasa.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan kerana sudi mendengar penerangan saya ini.”

Pagi itu 6 April 2002, saya diberitahu oleh seorang pegawai Kem Kamunting bahawa saya dibenarkan balik ke Kuala Lumpur untuk menikahkan anak perempuan saya. Apapun saya diminta terlebih dahulu membuat pemeriksaan kesihatan.

Memang saya sudah lama memboikot pergi bertemu pegawai kesihatan Kem Kamunting yang bernama Harpajan Singh itu. Namun, kerana dorongan untuk balik menikahkan anak saya itu amat kuat, maka saya terus sahaja pergi ke klinik.

Mengiringi saya ke klinik Kem Kamunting adalah seorang pengawal. Katanya, beliau turut bergembira saya dapat balik ke rumah. Di klinik Harpajan Singh terus menegur saya riang.

Kali ini Harpajan Singh agak terkejut melihat badan saya sudah agak susut dan muka saya cengkung. Beliau juga turut terkejut apabila mendapati tekanan darah saya tersangat okey dan denyutan saya begitu cool!

Selepas itu saya dibawa balik ke dalam blok. Saya mengambil mushaf Al-Quran, tasbih dan beberapa buah buku. Saya diberitahu bahawa saya akan bertolak pada hari itu walaupun nikah anak saya hanya akan diadakan esok, iaitu 7 April. Untuk itu saya akan bermalam di PRC, iaitu tempat saya mula-mula disoal-siasat pada penahanan tahun 1998 dan penahanan tahun 2001.

Fikir saya: “Oh PRC!! No, not PRC”. PRC adalah nama dan lokasi yang mengimbau perasan trauma dalam jiwa saya. Bau PRC pun masih boleh saya ingat lagi! Satu bau yang mengusik perasaan tertekan dikurung di tempat yang amat sunyi dan sepi.

Kembali ke blok tahanan saya sempat bertemu Tian, Isham, Lokman, Ezam dan Badrulamin. Badrulamin memberi beberapa panduan kepada saya bagaimana hendak menjalankan majlis aqad nikah.

Seterusnya saya dibawa ke RO. Di RO saya dibawa naik ke bilik setor. Sebuah beg kiriman isteri saya kepada SB semasa saya ditahan soal-siasat 60 hari rupa-rupanya ada disimpan dalam setor di RO. Dalam beg tersebut terdapat sehelai T-shirt, sehelai kemeja lengan pendek, sehelai seluar dalam, sehelai seluar panjang dan tali pinggang.

Semua pakaian tersebut sudah kusut dan renyuk. Baunya pula sangat hapak!

Saya mengenakan kemeja berlengan pendek yang hapak dan seluar panjang yang sudah renyuk itu. Seluar panjang itu londeh ke bawah bukan kepalang. Rupa-rupanya bukan sedikit berat badan saya sudah susut. Semasa masuk ke Kem Kamunting berat badan saya memang tidak cantik – 78 kg!

Tadi di RO saya timbang berat saya 72 kg! Hanya sebanyak 6 kg turun, tetapi kesan londeh seluar saya jadi agak melampau. Saya tarik tali pinggang ke lubang paling minimum, tetap londeh juga. Tak apalah, saya pegang sahaja seluar itu!

Saya dibawa masuk ke sebuah van penjara yang sudah menunggu. Sebelum masuk saya terserempak dengan Suri dan Chomel, dua adik beradik yang baru saja sampai untuk menziarahi suami-suami mereka di Kem Kamunting, iaitu Ahmad Yani dan Yazid Supaat. Shajaratul Dursina@Chomel sendiri adalah tahanan ISA yang masih dalam sekatan kawasan!

Saya sempat memberitahu mereka: “Balik nikahkan Anfal”. Mereka menjawab: “Anfal kahwin? Hari ni?”

Saya tidak sempat berpesan apa-apa kepada mereka. Pengawal-pengawal terus menarik saya masuk menaiki van penjara.

Setahu saya pihak Kem Kamunting tidak memberitahu isteri dan anak-anak saya yang saya akan balik. Sebelum itu pun isteri saya memang sudah bertekad bahawa beliau dan anak-anak akan tetap bersedia bagi majlis aqad nikah anak perempuan saya pada 10 April.

Kalau saya balik aqad nikah itu akan berlangsung dan kalau saya tidak balik aqad nikah itu akan ditangguhkan sehingga saya dibenarkan balik!

Anak saya, bakal suaminya serta kedua-dua orang bakal besan saya suami isteri pun sudah dimaklumkan serta mereka bersetuju dengan langkah tersebut!

Van yang saya naiki keluar diiring oleh dua buah kereta Proton Wira putih SB, satu di hadapan dan satu di belakang. Cepat-cepat pengawal memakaikan gari ke kedua belah tangan saya sambil berkata: “Haji… maaf ya kena pakai gari..nanti SB nampak tak pakai…kami kena!”

Setelah memasuki Lebuhraya PLUS, gari di tangan saya dibuka.

Sepanjang perjalanan dua buah kereta Wira itu tetap berada di jarak yang agak rapat dengan van yang saya naiki. Satu di hadapan dan satu di belakang. Dalam setiap kereta Wira itu terdapat tiga orang SB. Dalam van yang membawa saya pula terdapat enam orang pegawai dan pengawal penjara. Siap bersenjata!

Setelah kira-kira tiga jam perjalanan, bila kelibat Kuala Lumpur sudah mula melambai, maka pengawal-pengawal pun memakaikan semula gari dan memakaikan saya cermin mata gelap.

Pada masa itu saya sudah tidak nampak apa-apa lagi. Bila melepasi satu plaza tol yang tidak saya ketahui di mana, perjalanan semakin mengelirukan. Pengalaman kali pertama ditahan ISA dan dibawa ke lokasi rahsia dan gelap gelita datang semula mengusik semula perasaan saya!

 

 

Advertisements

Filed under: Uncategorized

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: