DEWAN ULAMA’ W.P

Ikon

Cakna ulama’,kebersamaan dalam pelbagai perkara dan amanah diatas tugas para anbiya’,’The boon and bane of Islamic Society’

Kenali Ulama’

 

RIWAYAT HIDUP RINGKAS BADIUZZAMAN SAID NURSI

Kekaguman Zaman (Badiuzzaman)


Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di kampung bernama “Nurs”, di timur Anatolia. Nama “Nursi” ialah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama terkenal di daerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru, kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman (Kekaguman Zaman).

 Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi

 Dupwp:Oleh Alfansuri

Jangan dok berlagak pandai kalau takat dok rujuk buku terjemahan saja. Yang dok berasa pandai pun … tunggu dulu jangan dok ghairah berfatwa, nanti ditertawa!

( Mai kita tengok apa kata Shaikh Idris al-Marbawi di dalam muqaddimah kitab terjemahan melayu (jawi) keatas kitab Bulughul Maram. Kitab Bulughul Maram adalah sebuah kitab hadits berbahasa arab yang dikarang oleh Syeikhul Islam al-Hafiz Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-Asqolani رضي الله عنه )

…………. Maka hendaklah diketahui oleh penuntut bahawa menerbitkan hukum, istinbath dan memahamkan nash al-Quran dan al-Hadits dengan bersendirian itu berhajat kepada berjaya dalam ilmu-ilmu yang tertentu dalam bahasa ’arab seperti ilmu nahwu dan sharaf, ilmu bayan dan ilmu ma’ani dan pecahan ilmu bahasa dan yang lainnya.

Dan berhajat kepada berjaya dalam ilmu fiqh, kerana ilmu feqah itulah yang lebih faedah keterangan baginya, kerana ulama feqah itu menyebutkan masalah secara feqah ,kerana disebut mereka itu akan dalil, maka zahirlah maknanya sehabis-habis zahir .dan juga berhajat kepada berjaya dalam ilmu usul feqah supaya tahu jalan-jalan yang diambil daripadanya segala nama dan segala bahasa, dan tahu perintah dan suruh, dan apa-apa kemahuannya, dan tahu tegah dan larangan dan apa-apa yang menunjukkan atasnya, dan tahukan am dan khas dan apa-apa yang mengikuti keduanya, dan tahukan lafaz yang datang atas sebab, dan tahukan mutlaq dan muqayyad, dan mantuq dan mafhum, dan mubayyan dan mujammal dan nasakh dan jalan-jalannya, dan segala perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan segala pembahagian hadits dan pembahagiannya.

Dan makna ijma, dan bagaimana tersimpulnya, dan perselisihan shahabat dan segala qaulnya, dan tahu akan qias dan yang dijadikan hujjah padanya, dan barang yang harus dijadikan asal dan yang tiada harus, dan yang menunjuk atas sah ‘illat dan barang yang harus dibuatkan ‘illat dan yang tiada harusnya, dan yang menunjukkan atas sah illat dan yang membatalkannya, dan bagaimana engkau menguatkan salah satu daripada dua ‘illat itu pada waktu berlawanan.

Dan tahukan istihsan dan hukum segala perkara dahulu daripada syarak, dan istishabul hal dan tahukan sifat mufti yang memberi fatwa dan yang meminta fatwa, dan barang yang harus padanya bertaqlid, dan barang yang tiada harusnya, dan tahukan segala qaul orang yang mujtahil, dan yang dikelaurkan seorang mujtahid akan satu masalah atas dua qaul dan lain daripada itu. Maka apabila telah mendapat seorang akan demikian itu, atau mencapai satu jumlah yang baik daripadanya atas sekurang-kurangnya, maka bahawasanya bersedialah ia bagi memahamkannya.

Adapun apabila diserbu keatas nash-nash dan seumpamanya itu daripada mula-mula kerja dengan ketiadaan sempurna alatnya maka sesungguhnya tiada berhasil daripada apa usaha apa suatu. Dan jadi seumpama orang yang mengores di atas air, dan jadilah akhirnya natijahnya apabila mengambil ia kan satu hadits supaya berdalil atas sesuatu masalah, di dalam itu berdiri dimukanya satu hadits yang lain menunjuki ia atas lain daripada apa-apa yang ditunjuki oleh hadits yang dahulu, jadilah ia ragu dan kacau serta kembali mencaci segala hadits dan menyangkal ke atas segala imam, dan menuturkan lidah kepada mereka itu dengan apa kehendak hawa nafsunya.

Maka jika tahu ia akan sekalian imam itu tiada menerangkan mazhab-mazhabnya melainkan dengan ushul yang shahih, dan kaedah yang tetap daripada faham yang sempurna dan cukup perkasa serta perasaan dan otak yang besar, dan lafaz yang lengkap, dan ijtihad yang mutlaq, pastilah tahukan darjat mereka itu pada ugamanya dan ijtihadnya, dan pasti mengaku bagi mereka itu dengan dahuluan dan kemudian.

Istimewa pula telah tsabit bersangatan berlepas diri daripada memperkatakan pada ugama Allah سبحانه وتعالى dengan fikirannya, dan bahawasanya adalah mereka itu memecut dan memberangsang kawan-kawannya beramal dengan al-Qur’an dan al-Hadits, serta berkata mereka itu: Apabila telah melihat kamu sekalian akan perkataanku yang menyalahi al-Quran dan al-Hadits, maka amalkan olehmu al-Quran dan al-Hadits, dan hempaskan cakapku ke dinding. Sesungguhnya berkata mereka itu demikian kerana memberi ingat sebelum terkena, ihtiyath bagi ummat Muhammad صلى الله عليه وسلم dan beradab dengan beliau, bahawa menambah seorang daripada mereka itu pada syariatnya Nabi صلى الله عليه وسلم barang yang tiada didatangkannya dan tiada diredhainya, seperti ia kelaur daripada kaedah yang secara syarak yang tetap daripada Nabi صلى الله عليه وسلم. Adapun apa-apa yang disaksikan baginya oleh syariat dengan sahnya, dan muafaqat ia dengan segala kaedah, maka ia terbilang daripada syariat, walaupun tiada diterangkan oleh syarak sekalipun.

Kata Imam Malik jauhkan dirimu daripada pemikiran lelaki ahli ilmu, melainkan bahawa telah ijma mereka itu atasnya dan ikuti kamu apa yang telah diturunkan dari Tuhan kamu dan barang yang datang dari Nabimu, maka jika sekiranya tiada mengerti maknanya maka serahkan kepada orang yang alim di antara kamu, dan jangan kamu lawan berbantah dengan mereka itu, kerana berbantahan pada agama itu daripada sisa-sisa munafiq, kata Ibnu Qasim bahkan munafiq semuanya, kerana berbantahan dengan tiada betul pada yang betul serta orang-orang alim itu seperti berbantahan pada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan beliau berkata: Serahkan oleh kamu sekalian bagi para imam, dan jangan kamu sekalian lawan berbantah-bantah dengan mereka itu, maka jikalau ada datang kepada kita seseorang yang lebih pandai berjuang lidah, tiba-tiba kita ikutkan dia, boleh jadi kita terjejas jatuh kepada penolakan apa-apa yang didatangkan oleh Jibril عليه السلام.

Dan adalah imam Syafie رضي الله عنه berkata: Hadits Nabi صلى الله عليه وسلم tidak berhajat kepada lain lagi apabila ia shahih. Dan adalah Imam Ahmad رضي الله عنه apabila ditanya orang akan suatu masalah berkatalah ia: Adakah bagi seseorang itu membuka mulut bercakap serta Rasulullah صلى الله عليه وسلم? Dan telah meminta fikiran seorang kepaadanya tentang seorang yang bertaqlid daripada ulama yang sezamanya, maka ia berkata: Jangan engkau taqlid kepadaku, dan jangan taqlid kepada Imam Malik dan jangan taqlid kepada Imam Auza’ie dan jangan taqlid kepada Imam Nakha’ie dan jangan kepada lainnya. Tetapi ambillah olehmu hukum-hukum itu dari mana tempat mereka mengambilnya. Maka perkataan Imam Syafie itu diwajibkan atas orang yang memiliki kemampuan istinbath segala hukum daripada al-Quran dan al-Hadits.

Maka jika tiada kekuasaan, maka sesungguhnya telah diterangkan oleh ulama akan taqlid itu wajib ke atas orang awam, supaya tiada sesat pada agamanya. Maka imam-imam yang mujtahid itu beredar semuanya beserta segala dalil syarak, dan semua mereka itu suci dirinya daripada perkataan dengan fikiran sendirinya pada agama Allah سبحانه وتعالى. Dan mazhab-mazhab mereka itu semuanya diambil daripada al-Quran dan al-Hadits. Kerana itu kita wajib beradab kepada mereka serta memeliharakan kewajibannya. Dan tiada harus bagi orang yang tiada tahukan kalam mereka itu dan kehalusan pandangannya segera mereka mencaci dan mengejeknya.Dan disini ada perkataan yang lemak manis bagi Imam asy-Sya’rani di dalam muqaddimah al-Mizan. Maka bolehlah kembali lihat kepadanya jika engkau berkehendak, supaya tiada berlaku pada mengurangkan kewajiban bagi imam-imam yang mujtahid.

Dan tiadalah sepatutnya difahamkan daripada kalam Imam Ahmad رضي الله عنه, bahawasanya berijtihad itu wajib bagi setiap orang Islam, kerana faham yang demikian itu batal dengan sebab beberapa perkara:

[Yang pertama] Bahawasanya memberati orang yang tiada sampai kepada maqam ijtihad sama ada ia orang awam atau ia orang alim menyalahi apa-apa yang berlaku atasnya ijmak salaf, daripada bahawasanya orang awam tiada diberati pada sesuatu daripada segala masa dengan ijtihad maka jika orang-orang awam itu orang yang kena perintah berijtihad, pastilah mereka itu diberati berijtihad, dan ingkar pula orang-orang awam itu ke atas orang-orang alimnya dalam mengamalkan fatwa. Mereka itu sungguhnya tiada pernah berlaku atas perkara yang demikian.

[Yang kedua] Bahawasanya memberati orang-orang yang awam dengan ijtihad membawa pula kepada luput hal kehidupan mereka itu dan dapat mudharat mereka dengan sebab ragu-ragu bagi menghasilkan segala sebabnya, maka yang demikian itu sebab bagi kebinasaan segala ehwal

[Ketiga] Bahawasanya memberati orang-orang awam dengan berijtihad itu membawa pula kepada luput ijtihad itu sendirinya, dengan melihat bahawa ia uzur atau susah kerana sekalian orang yang diberati itu jikalau bimbang maka mereka dengan berijtihad nescaya meluputi mereka sendiri, kerana ijtihad itu pendapatan otak yang berlebihan, dengan dia lah boleh tuannya menampakkan segala rahsia syariat yang ada di dalam al-Quran dan al-Hadits dan ijma dan qiyas, dan dengan dia berkuasa menerbitkan segala hukum daripada segala dalilnya. Dan ini tiadalah mungkin melainkan dengan menghabiskan masa dan kemampuan kerana mengira-ngirakan apa yang terhenti atasnya. Dan yang demikian itu terhenti atas orang yang bangun dengan segala hajat itu, dimana orang yang mujtahid yang dharuri hingga ia boleh ia menghabiskan peluang kerana perkara tersebut. Maka kerana itulah berfirman Allah سبحانه وتعالى:

فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِيْ الدِّيْنِ

“Maka mengapa tiada pergi dan berangkat daripada tiap-tiap golongan yang besar daripada mereka itu satu golongan kecilnya supaya boleh dapat faham mereka itu pada agama.”

Maka dijadikan segolongan berperang dan segolongan lain supaya memahami agama dan sesungguhnya telah jatuh setengah dari golongan orang-orang awam di dalam kebinasaan yang besar, iaitu ia jadi tiada mempedulikan perkataan orang-orang mujtahid dan segala ikutan mereka daripada ulama, dan mentafsir segala ayat al-Quran dan al-Hadits itu dengan fikirannya sendiri sebelum ia mengetahui perkataan imam yang masyhur dengan ilmu dan makrifat dan yakin serta tiada harus menafsirkan suatu daripada segala ayat dan hadits-hadits itu dengan fikiran sendiri dan tiada harus ditanggung atas segala makna yang tidak di nashkan atasnya oleh imam-imam yang berbilang, sebagaimana mengkhabarkan guruku al-Allamah asy-Syeikh Muhammad ‘Ali al-Maliki yang wafat di Thaif pada 28hb Syaaban tahun 1367H di dalam kitabnya al-Maqsidu al-Sadid, kita pohonkan kepada Allah سبحانه وتعالى kiranya Ia memberi taufiq kepada kita dan menunjukkan kita akan jalan yang benar.

Sesungguhnya telah aku pindahkan ini pada ta’liq yang aku sanggup atasnya daripada perkataan imam-imam, dan aku telah berpegang pada menghuraikan segala lafadznya atas syarahnya “Subulus Salam” dan ialah kehendakiku ketika aku berkata “minas syarah” atas setengah daripada syarah Bukhari dan Muslim seperti al-‘Aini dan an-Nawawi, dan setengah daripada segala syarah sunan dan setengah kitab-kitab fiqah dan lughah.
Penterjemah
Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari

Tamatlah petikan ……. Sekian.

– abu zahrah –

Lampiran 2 

Oleh fariz

Allahyarham Syeikh Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi adalah seorang ulamak besar yang tidak asing lagi bukan saja di Nusantara malahan di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Ilmu Hadis, Tafsir dan Fiqah.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu pada tahun 1913 bersamaan tahun 1333 Hijrah. Sekembalinya ke Tanah Melayu, Allahyarham Syeikh Mohd Idris al-Marbawi mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok di Kuala Kangsar, Kedah, Bukit Mertajam dan Kelantan. Sejak dari kecil lagi, al-Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-Quran. Ketika berusia 10 tahun juga, beliau telah mampu menghafaz sebanyak 10 juzuk Al Quran di samping beberapa buah kitab lain.Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok-pondok yang merupakan institusi pendidikan Islam yang terpenting di alam Melayu pada ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Lalu, pada tahun 1924, beliau telah  melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al-Azhar.

Al-Marbawi di Mesir

Di Mesir, beliau menggondol kejayaan yang membanggakan dengan memperoleh ijazah ‘Aliyah (tertinggi) dari universiti al-Azhar. Sebenarnya al-Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.

Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai ‘Kamus al-Marbawi’ itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.

Sumbangan Karya al-MarbawiKarya-karya al-Marbawi yang dihasilkan adalah melebihi 20 buah buah dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Ini sekaligus membuktikan al-Marbawi dalam pengajian ilmu-ilmu Islam.Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab-Melayu berbanding disiplin ilmu yang lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerah Ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang diberikan oleh beliau dalam bidang persuratan Arab-Melayu.

Selain kamus Arab-Melayu, al-Marbawi juga telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadith. Antara tulisan beliau dalam bidang ini ialah Bahr al-Madhi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmidhi. al-Marbawi juga turut menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kitab Bulugh al-Maram iaitu sebuah karya hadith yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh Hadith tersohor iaitu Ibn Hajar al-Asqalany. Dua karya dalam bidang hadith berbahasa Melayu ini ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama’ Nusantara.Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain bidang tersebut, al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, Aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

Kamus al-Marbawi dan Bahrul Madhi

Kitab yang paling tersohor yang telah dihasilkan oleh al-Marbawi ialah Kamus Arab-Melayu dan kitab Bahrul Madhi. Kedua-dua kitab ini digunakan sehingga ke hari ini. Antara keistimewaan kedua-dua hasil karya beliau ini adalah seperti berikut:-

Kamus al-Marbawi

Kamus ini merupakan kamus dwibahasa Bahasa Arab –Bahasa Melayu. Ia disusun dalam 2 jilid, iaitu jilid yang pertama bermula daripada huruf alif sehingga za’. Manakala jilid yang kedua bermula daripada huruf `ain sehingga ya’. Kamus ini mengandungi 18, 000 kata entri Arab dan 700 gambar. Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.

2. Kitab Bahrul Mazi

Kitab Bahr al-Madhi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pengajian Hadith di Malaysia. Bahr al-Madhi ialah kitab hadith bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadith di rantau ini. Karya ini memuatkan ulasan dan huraian hadith dalam bentuk fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.

Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al-Marbawi mengikut acuan dan suasana masyarakat Malaysia. Karya ini memberikan nafas baru kepada pemahaman hadith-fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang hubungan yang earat antara kedua-duanya.

Anugerah Yang Diterima Oleh al-Marbawi

Atas sumbangan dan jasanya yang besar dalam bidang keagamaan dan persuratan, maka pada tanggal 5 Julai 1980, Allahyarham dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada enam tahun berikutnya iaitu pada pada 1 Muharram 1408H beliau dinobatkan pula sebagai tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah.

Tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah telah meninggalkan kesedihan kepada rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu dan sumbangan al-Marbawi apabila beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, Perak.

Advertisements

Filed under: Uncategorized

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: