DEWAN ULAMA’ W.P

Ikon

Cakna ulama’,kebersamaan dalam pelbagai perkara dan amanah diatas tugas para anbiya’,’The boon and bane of Islamic Society’

Fikrah Pemimpin

 

Pilihan Raya Buli?

 Tranungkite/terbitan : 17 April 2004 /dupwpOleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

APA beza buli remaja di sekolah menengah dengan buli pilihan raya? Ia hampir sama juga dengan buli di jalan raya.

Jika perbuatan buli melibatkan kegiatan ‘orang yang menggunakan kekuatan atau kuasa untuk mencederakan atau menakutkan orang lain yang lebih lemah’ seperti yang diertikan oleh kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, maka tidakkah buli pilihanraya turut melibatkan aktiviti pemerasan dan penindasan yang serupa? Jika dalam kes buli yang melibatkan kematian adik Mohammad Farid, enam pelajar telah dibuang sekolah (Berita Harian, 6 April 2004), ada sesiapa yang di buang atau di lucutkan jawatan dari keanggotaan SPR?

Jika tindakan pembuangan enam pelajar itu di putuskan dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Disiplin sekolah berkenaan yang di pengerusikan oleh pengetuanya, Encik Johara Norwawi, maka adakah jawatan kuasa yang hampir serupa di tubuhkan untuk menilai semula tingkah laku dan mungkin salah laku badan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk di ambil tindakan? Jika polis dibenarkan untuk berucap di sekolah-sekolah oleh Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar bagi mendedah gejala samseng dan jenayah di kalangan pelajar (Mingguan Malaysia, 11 April 2004), maka apa wajarnya Timbalan Menteri yang sama mengugut bagi menyekat Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya untuk menemui rakyat (Mingguan Malaysia, 11 April 2004) dan mengadakan perhimpunan aman demi menjelaskan aspek-aspek salah laku SPR yang membuli parti-parti pembangkang dalam pilihan raya yang lalu? Ini bukan soal menghasut tetapi sekadar mengatur satu siri sesi penjelasan. Ia biasa dan sihat dalam amalan demokrasi. Ia jauh dari bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang dipanggil ‘check and balance’. Salahkah kami untuk memainkan peranan sebagai pembangkang? Jika tidak kami yang menegur kesilapan Kerajaan, maka siapa lagi?

SALAHLAKU PILIHAN RAYA KE 11 Hakikat adanya satu senarai tuduhan yang panjang mengenai salah laku dalam pengendalian pilihan raya yang ke-11 pada 21 Mac yang lalu sangat menyerupai kegiatan penindasan pihak yang kuat ke atas pihak yang lemah. Orang ramai telah berhimpun di ibu pejabat Suhakam tiga minggu yang lalu. Pihak pembangkang telah membentuk satu Badan Bertindak kerana terdapat isyarat-isyarat yang jelas mengenai liatnya kerajaan UMNO/BN dan tidak berminatnya mereka untuk mewujudkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat fenomena buli dalam pilihan raya kita baru-baru ini. Mentang-mentang mahu Islam Hadhari sekalipun, takkanlah Islam klon hadhari sanggup menghalalkan penipuan? Pihak pembangkang telah siap membukukan bukti berdokumen dalam mengenengahkan dakwaan. Lantiklah suruhanjaya penyiasat bebas dengan segera untuk menolak dakwaan. Jika tuduhan tidak berasas, UMNO/BN boleh bersihkan nama.

Apa masalahnya di sini, sedangkan pengerusi SPR pun telah lama menyatakan kesediaan untuk di bedah siasat pada bila-bila masa. Buktikan yang tuduhan-tuduhan adalah salah. Itu saja. Hanya terdapat dua kemungkinan. Salah atau benar. Beranilah untuk di uji. Hadapilah kenyataan. Selagi kerajaan tidak bertindak, selagi itulah rakyat akan sentiasa sangsi dengan kemenangan UMNO/BN. “Kerajaan yang ada ini sah atau tidak sah?” Apa sangatlah yang di takutkan dengan penubuhan sebuah badan penyiasat bebas? Tidakkah dengan kesediaan kerajaan untuk mengizinkan badan yang sama di tubuhkan kira-kira lima tahun dahulu, penumbuk yang meninju mata kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dapat dipastikan dalam tempoh tidak sampai 2 hari? Inilah hikmat penubuhan Badan Penyiasat.

Inilah kecekapan? Jika ingin cemerlang, inilah caranya. Baru Umno terbilang! BUKAN SOAL PAS TOLAK KEPUTUSAN RAKYAT Soal Dato’ Seri Haji Abdul Hadi yang kononnya tidak dapat menerima keputusan, bahkan di tuduh menghina keputusan rakyat (Berita Minggu,11 April 2004) tidak timbul. Di sepanjang 10 kali pilihan raya,PAS telah akur menerima keputusan. Ini tidak berbangkit. Kita tidak menerima keputusan pada kali ini kerana sifatnya yang sangat menyalahi adat. Terlalu banyak ruang-ruang samar yang membolehkan orang bermain silap mata. ‘Magic show’ yang terlibat dalam ‘pertunjukan pilihan raya’ pada kali ini cukup ganjil. Ia luar biasa. Jika kerajaan UMNO masih tidak mahu juga menubuhkan Pasukan Penyiasat Pilihan Raya untuk membuat ‘post mortem’ , parti-parti pembangkang nampaknya tidak ada pilihan. Kami terpaksa turun padang secara aman untuk menjelaskannya kepada rakyat. Kami tidak berniat untuk berkonfrontasi.

Kami perlu mengangkat nota-nota bukti berkaitan kepada badan-badan serta pertubuhan peringkat antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, dan Negara-negara Komanwel untuk meneliti dakwaan salah laku SPR dalam pilihan raya ke-11 demi memulih dan membetulkan semula keadilan pengendalian pilihan raya berkenaan di Malaysia. Tidakkah kita perlu memenuhi piawai antarabangsa untuk di iktiraf ke tahap ‘world class?” Demi sebuah tanggungjawab, kami wajib menyelamatkan para pengundi dalam pilihan raya ini dan pilihan raya-pilihan raya umum yang akan datang. Kami tidak sanggup menjadi “mangsa buli Islam Hadhari” mainan sebuah parti kebangsaan Melayu bernama UMNO yang tidak bertulang belakang.
 

PUASA PADA BULAN DZUL-HIJJAH?


Soalan; apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Zulhijjah? Apa pula kelebihan puasa hari Arafah?

Jawapan;
Dari Hafsah r.a. menceritakan;أربع لم يكن يدعهن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم صيام عاشوراء والعشر وثلاثة أيام من كل شهر والركعتين قبل الغداة
“Empat amalan yang tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘ashyr (yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, at-Thabrani dan an-Nasai)Maksud al-‘Ashyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Dzulhijjah hingga hari ke sembilannya. Disunatkan puasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari Arafah. Malah terdapat hadis lain yang menegaskan bahawa sepuluh hari awal Dzulhijjah adalah hari-hari paling baik untuk beramal dengan apa sahaja amal kebaikan, tidak tertumpu kepada puasa sahaja, iaitu sabda Rasulullah s.a.w.;

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى اللَّه من هذه الأيام:يعني أيام عشر ذي الحجة
“Tidak ada hari-hari di mana mengejakan amal soleh padanya paling disukai oleh Allah dari hari-hari ini; yakni hari-hari sepuluh awal Dzulhijjah”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Adapun fadhilat puasa hari ‘Arafah iaitu hari ke 9 Dzulhijjah, Abu Qatadah r.a. menceritakan;

سئل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم عن صوم يوم عرفة؟ قال: يكفر السنة الماضية والباقية
“Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang”. (Riwayat Imam Muslim)

Hari ‘Arafah adalah hari yang paling afdhal dari segala hari.[1] Ini kerana Rasulullah bersabda;

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْداً مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada satu hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari api neraka dari hari ‘Arafah”. (Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian puasa pada hari ‘Arafah itu hanya disunatkan kepada yang bukan jamaah Haji. Adapun jemaah Haji, mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut, akan tetapi disunatkan berbuka sebagai mengikuti Rasulullah s.a.w. dan untuk memperolehi kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Abu Hurairah r.a. menceritakan;

أنَّ النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم نهى عنْ صوم يومْ عَرَفَة بعَرَفةَ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; “Orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w, berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah”. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya. (Riwayat Imam Muslim).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, 4/239.
3. Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253.
4. Subulus-Salam, Kitabu as-Shiyam, bab Shaumu at-Tatawwu’ wa Ma Nuhiya ‘An Shaumihi.

[1] Di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie ada dua pandangan berhubung hari yang paling afdhal iaitu;
a) Pandangan pertama; hari jumaat. Berdalilkan hadis Nabi s.a.w.;
خير يوم طلعت فيه الشَّمس يوم الجمعة
“Hari terbaik muncul padanya matahari ialah hari jumaat”. (Riwayat Imam Muslim)
b) Pandangan kedua; hari ‘Arafah. Berdalilkan hadis di atas. Inilah pandangan yang ashah. Adapun hadis kelebihan hari Jumaat, maka ditakwilkan sebagai hari paling afdhal di kalangan hari-hari dalam seminggu, bukan hari-hari secara keseluruhannya dalam setahun.
(Rujuk; Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 9, Kitab al-Hajj).
Jika ditanya; bagaimana pula dengan lailatul-Qadar? Maka apakah hari ‘Arafah lebih mulia dari lailatul-Qadar? Jawapannya; hari ‘Arafah adalah adalah hari paling mulia di antara hari-hari dalam setahun. Adapun Lailatul-Qadar, maka ia adalah malam yang paling mulia di antara malam-malam dalam setahun. Kerana itulah dalam hadis di atas disebutkan (من أيام), bukan (من ليال). (Lihat: Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 253).

Soalan; bagaimana cara yang betul untuk saya melakukan solat Istikharah? Apakah bentuk pertunjuk atau tanda yang akan saya perolehi selepas melakukan Istikharah?Jawapan;Bismillahirrahmanirrahim,1. Solat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam urusan kita yang menimbulkan keraguan dan kesangsian. Solat ini disunatkan –sekalipun bagi urusan-urusan kecil atau remeh- berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam segala urusan kami seperti beliau mengajar surah al-Quran. Baginda bersabda; ‘Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang bukan solat fardhu. Setelah selesai solat, hendaklah ia membaca doa;

اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وأسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأسألُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فإنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أعْلَمُ، وأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لي فِي دِيني وَمَعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعَاجلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لي، ثُم بارِكْ لي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاقْدُرْ لِيَ الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu tentang mana yang lebih baik untukku berdasarkan ilmuMu, dan aku memohon kekuatan dariMu untukku dengan kudratMu serta aku memohon kepadaMu kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau maha tahu sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui urusan ini baik untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam melakukannya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka palingkanlah ia dariku dan takdirkanlah untukku apa yang baik bagiku dalam apa rupa sekalipun, kemudian jadikanlah hatiku redha menerimanya”.
Hendaklah ia menyebutkan hajatnya (semasa berdoa itu).
(Riwayat Imam al-Bukhari).

2. Sunat Istikharah hanyalah bagi urusan-urusan yang harus sahaja seperti perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya. Adapun urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah kerana ia disuruh oleh Syarak. Setiap yang disuruh oleh syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi. Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak dan setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.

3. Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.

4. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar; disunatkan membaca dalam rakaat pertama –selepas al-Fatihah- surah al-Kafirun dan dalam rakaat kedua surah al-Ikhlas. Jika seseorang tidak dapat mengerjakan solat, bolehlah ia beristikharah dengan membaca doa sahaja. Semasa berdoa, sunat dimulakan dengan memuji Allah dan mengucapkan selawat serta salam kepada Nabi Muhammad dan begitu juga apabila selesai berdoa.

5. Adapun tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasai oleh hati. Selepas menunaikan solat dan berdoa kepada Allah sebagaimana tadi, hendaklah orang yang beristikharah itu melakukan apa yang hatinya berasa tenang dan yakin untuk melakukannya. Jika perlu diulangi, ulangilah istikharah itu. Ada ulamak menggalakkan Istikharah diulangi hingga tujuh kali berdasarkan hadis riwayat Imam Ibnu Sunni dari Anas r.a.; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika kamu ingin melakukan suatu urusan, beristikharahlah kepada Tuhanmu tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang mula sampai kepada hati kamu. Sesungguhnya kebaikan ada padanya”. Namun hadis ini menurut ulamak hadis adalah lemah.

6. Satu perkara yang perlu diingat; ketika melakukan istikharah, hati hendaklah pasrah kepada Allah. Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan kerana itu tanda kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah. Berkata Imam Nawawi; “Sesudah istikharah hendaklah seseorang itu memilih apa yang hatinya berasa tenang/lapang untuk melakukannya. Janganlah ia berpegang dengan ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah. Bahkan orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang orang yang beristikharah itu tidak jujur/tidak ikhlas dalam istikharahnya dan dia tidak pasrah kepada ilmu dan qudrat Allah. Jika ia benar-benar jujur/ikhlas dalam istikharahnya, sudah tentu ia akan membebaskan hatinya dari upaya dan kekuatannya serta dari pilihannya sendiri (sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah)”. (Rujuk; Nailul-Autar, jil. 3, hlm. 74).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Azkar, Imam Nawawi, Kitab al-Azkar Wa ad-Da’awat…, Bab al-Istikharah.
2. at-Tajul Jami’, Syeikh Mnasur ‘Ali Nasif, jil. 1, hlm. 333.
3. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 3, hlm. 74.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: